SUSAH BERNAFAS SEBAB HIDUNG TERSUMBAT
Hidung tersumbat boleh menyebabkan seseorang merasa sesak nafas, tidur berdengkur, bernafas melalui mulut, suara sengau, sakit kepala, berat kepala, letih dan lesu. Seringkali hidung menjadi tersumbat oleh sebab jangkitan virus atau bakteria semasa demam selsema dan ia akan pulih dalam masa yang singkat. Walaubagaimanapun ada sesetengah pesakit gejala hidung tersumbat ini berlaku pada bila-bila masa atau berpanjangan.
Ruang hidung manusia terbahagi kepada dua; belah kanan dan kiri. Ia dipisahkan oleh tulang tengah iaitu ‘septum’. Masalah hidung tersumbat boleh disebabkan oleh bentuk septum yang bengkok atau bengkakan pada selaput dalam hidung. Selaput hidung boleh menjadi bengkak disebabkan jangkitan kuman, alahan (alergi), polip hidung (nasal polyposis) atau ketumbuhan hidung (tumour). Pada peringkat umur kanak-kanak tisu adenoid yang besar seringkali menjadi punca hidung tersumbat. Terdapat juga insiden di mana bendasing menyebabkan sebelah hidung tersumbat dan berair pada kanak-kanak.
Apa lagi gejala lain berkaitan dengan hidung tersumbat?
Doktor akan bertanya beberapa soalan seperti berikut:
- Berapa lama masalah ini berlaku?
- Hidung sebelah mana atau kedua-duanya yang tersumbat?
- Adakah masalah ini semakin serius dalam jangka masa terdekat?
- Adakah tuan/puan mengalami sentiasa bersin, hidung gatal, hidung berair?
- Adakah tuan/puan mengalami masalah sakit kepala, tidur berdengkur?
- Bagaimana dengan deria bau dan rasa? Adakah ia berkurangan?
- Pernah mengalami hidung berdarah?
- Pernah mengalami trauma pada hidung?
- Adakah tuan/puan menggunakan ubat sembur hidung yang mengandungi pseudoephedrine atau mengambil ubat aspirin?
- Adakah tuan/puan mengalami masalah kesihatan yang lain seperti lelah, darah tinggi, masalah tiroid etc?
Bagaimana doktor pakar ENT mengenalpasti punca hidung tersumbat?
Setelah mendapat riwayat penyakit dengan teliti, pakar ENT akan memeriksa bahagian ruang hidung dengan menggunakan skop di klinik. Ini membolehkan pakar tersebut melihat dengan lebih jelas ruang dalam hidung dan mengenalpasti punca hidung tersumbat. Selalunya imej skop tersebut disambung kepada kamera dan dipaparkan di atas skrin TV agar pesakit juga dapat melihat dengan sendiri.
Kadangkala doktor akan mengesyorkan pemeriksaan lanjutan seperti ujian darah, ujian alahan atau CT scan. Tetapi ini bergantung kepada setiap kes pesakit dan bukan semua pesakit perlu pemeriksaan lanjutan tersebut.
Rawatan bagi hidung tersumbat
Rawatan hidung tersumbat bergantung kepada puncanya. Sekiranya ia berkaitan demam selsema, rawatan perubatan dapat memulihkan keadaan yang selalunya bersifat sementara.
Rawatan perubatan yang sering disyorkan termasuk ubat sembur hidung (intranasal steroids, nasal decongestant, saline wash/spray) dan pil (antihistamine, decongestant) dalam pelbagai kombinasi. Antibiotik juga perlu sekiranya ada jangkitan bakteria. Ia adalah penting bagi pesakit menggunakan ubat seperti yang disarankan oleh doktor yang merawat. Kadangkala ia mengambil masa beberapa minggu untuk hidung tersumbat menjadi lega.
Sekiranya rawatan perubatan gagal untuk memulihkan masalah hidung sumbat, pakar ENT mungkin mengesyorkan pembedahan (surgeri). Jenis pembedahan bergantung kepada punca masalah hidung tersumbat. Contohnya pembedahan septum (septoplasty) dinasihatkan sekiranya pesakit mengalami tulang septum yang bengkok. Ada juga pembedahan turbinat hidung untuk mengecutkan selaput yang bengkak.Endoscopic sinus surgery pula disyorkan bagi mereka yang bermasalah polip hidung dan sinusitis. Tisu adenoid yang bengkak juga boleh dibedah sekiranya rawatan perubatan gagal. Perlu diingatkan bahawa ada beberapa cara untuk mengatasi masalah hidung tersumbat dan doktor pakar akan menasihatkan rawatan yang paling sesuai bagi setiap pesakit.